Tuesday, July 5, 2011

Kamus Dewan dikritik

Prof Collins pada Syarahan
Umum: Perkamusan, Kamus
Melayu dan KamusMelayu
Online di UMP, Gambang,
Kuantan, baru-baru ini.
Prof Collins pada Syarahan Umum: Perkamusan, Kamus Melayu dan KamusMelayu Online di UMP, Gambang, Kuantan, baru-baru ini.
Pakar leksikografi dan dialektologi Melayu sifatkan ia tidak cermin kemajmukan dan teknikal negara 

KAMUS Dewan dikritik hebat pada Syarahan Umum: Perkamusan, Kamus Melayu dan Kamus Melayu Online di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, Kuantan, baru-baru ini, apabila disifatkan tidak mencerminkan kemajmukan sosial dan teknikal di negara ini.

Ini kerana kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu, dianggap tidak menggambarkan realiti kepelbagaian etnik dan kemajuan sains dan teknologi apabila tidak memberi definisi tepat terhadap sebahagian perkataan dalam bahasa Melayu.
Kira-kira 300 peserta majlis anjuran Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) UMP turut didedahkan kelemahan itu jauh berbeza dengan fakta sejarah penyusunan kamus dalam bahasa Melayu yang bermula hampir sama dengan permulaan leksikografi di Eropah pada zaman Renaissance. 

Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggara, Northern Illinios University (NIU), Amerika Syarikat (AS), Prof Dr James T Collins, berkata Kamus Dewan tidak terlalu teliti dalam memberi definisi apabila tidak mencerminkan perbezaan sosial mengikut kelas dan fungsi sosial. 

“Sistem panggilan dalam bahasa Melayu umpamanya sangat kompleks dan tidak seperti Indonesia yang cukup dengan sapaan ‘ibu’ dan ‘bapak’, sebaliknya kita memanggil berdasarkan kaum dan kelas sosial. 
“Contohnya ‘pak cik’ dalam Kamus Dewan bermakna panggilan untuk orang lebih tua, tetapi kita tidak boleh menggunakannya secara sebarangan untuk memanggil profesor dan pensyarah atau pemilik kedai berbangsa Cina,” katanya yang mempunyai pengkhususan dalam linguistik dan leksikografi serta dialektologi Melayu dan perubahan sosial dalam bahasa minoriti di Asia Tenggara. 

Hadir sama Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim dan Dekan PBMSK, Prof Dr Abd Jalil Borham, selain lapan peserta Program Bahasa Melayu Untuk Pelajar Antarabangsa dari AS. 

Prof Collins turut mengkritik Kamus Dewan yang tidak memberi tumpuan kepada definisi yang bersifat teknikal, sebaliknya dianggap masih ‘tersangkut’ pada dekad 1960-an dan 1970-an serta terikat kepada kesusasteraan. 

“Bagaimana Malaysia mahu menjadi negara industri dan pengeluar sekiranya aspek definisi teknikal tidak mendapat dokongan daripada DBP sehingga kata majmuk seperti jenis skru dan sepana pun tidak ada. 

“Begitu juga dengan segala istilah sains komputer yang sangat ketinggalan dalam Kamus Dewan sehingga kita berdepan dengan realiti kemajmukan sosial dan teknikal yang tidak terkejar dalam bahan cetakan sedia ada,” katanya yang turut berkhidmat sebagai Editor Online Multimedia Learner’s Dictionary of Malay iaitu projek khas Kementerian Pendidikan AS sejak Ogos 2009. 

Prof Collins berkata, kelemahan daripada sudut kemajmukan sosial dan teknikal itulah yang cuba diatasi dalam projek khas Kementerian Pendidikan AS, iaitu Online Multimedia Learner’s Dictionary of Malay dengan beliau bertindak sebagai Editor. 

“Kamus kami mahu memberi definisi perbezaan hidup bermasyarakat Malaysia dan kemajuan negara ini apabila pemerolehan perkataan, makna dan contoh ayat, dibuat secara dalam talian. 

“Sekiranya kami memerlukan contoh ayat, kami tidak membuka korpus bahasa Melayu yang mungkin ada di DBP, sebaliknya menggunakan Google dan memastikannya bahasa Melayu serta bukannya bahasa Indonesia,” katanya yang pernah menghasilkan buku Malay, World Language: A Short History dan Wibawa Bahasa: Kepelbagaian dan Kepiawaian terbitan DBP. 

Sumber dalam Google, kata beliau, boleh saja berbentuk blog dan akhbar, laporan saintifik dan jurnal universiti, laporan jabatan kerajaan serta syarahan agama sehingga memberi definisi yang meluas dan terkini. 

“Kami hanya perlu memilih ayat yang sesuai, sekali gus membolehkan kami menemukan makna baru yang belum dikenali dalam kamus. Contohnya pelawat yang diberi definisi sebagai orang yang bertandang ke rumah dalam kamus, sedangkan dalam Google ia juga bermaksud pengunjung ke laman web,” katanya yang pernah berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula 1980 hingga 1983 dan 1995-2008. 

Prof Collins turut mengingatkan fakta sejarah dalam bidang perkamusan mencatatkan kamus dwibahasa pertama di Eropah disusun pada 1502, manakala kamus bahasa Melayu pertama pula dihasilkan pada 1521. 

“Ilmu perkamusan di Eropah adalah sebahagian daripada Renaissance dan perkembangan sains, sekali gus menunjukkan dari awal lagi kamus bahasa Melayu sudah menjadi sebahagian daripadanya. 

“Baik pada permulaan ilmu perkamusan di Eropah pada abad ke-16, perkembangannya pada abad ke-17 mahupun penemuan metodologi terbaru di dunia yang digunakan oleh Oxford English Dictionary (OED) pada abad ke-19, kamus bahasa Melayu berada di tengah-tengah sejarah ini,” katanya. 

Beliau berkata, ia menunjukkan kamus dan bahasa Melayu bukan sesuatu ilmu serta bahasa di pinggiran yang bersifat kecil-kecilan, sebaliknya berada di tengah-tengah pergolakan ilmu leksikografi yang menggunakan metodologi dan teknologi yang canggih pada zamannya. 

Kritikan Prof Collins itu wajar dilihat secara positif oleh DBP untuk mengemas kini Kamus Dewan khususnya Edisi Keempat yang diterbitkan sejak 2005 lagi sedangkan perubahan dalam sains dan teknologi sudah jauh berbeza. 

DBP juga wajar meneladani OED yang memiliki laman web khas yang sentiasa dikemas kini dengan masukan perkataan terbaru dan terkini termasuk perkataan yang dicipta kesan daripada perubahan dalam pelbagai bidang. 


Jika benar kesemua kesalahan ini benar-benar gagal dilakukan oleh DBP, semoga ada pihak yang mengambil tindakan. 
Atau DBP telah lakukan penambahbaikan, cuma isinya yang tidak lengkap dengan kesemua unsur sosial atau teknikal??

No comments:

Related Posts with Thumbnails