Friday, June 25, 2010

Gillard jadi Perdana Menteri wanita pertama Australia


JULIA GILLARD dan teman hidupnya, Tim Mathieson.

CANBERRA - Australia semalam mempunyai Perdana Menteri wanita pertama, Julia Gillard, yang berjanji akan menamatkan perbezaan cukai perlombongan dan menghidupkan semula skim perdagangan karbon.
Beliau menjadi Perdana Menteri selepas Kevin Rudd berundur dalam suasana memalukan dan penuh emosi apabila beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan.
Tindakan itu dibuat hanya beberapa jam sebelum pemilihan Ketua Parti Buruh yang menguasai Parlimen diadakan pada pukul 9 pagi waktu tempatan.
Pada pemilihan Ketua Parti Buruh itu, Gillard menang tanpa bertanding selepas Rudd menarik diri.
Kemenangan yang dicapai oleh wanita itu diperoleh selepas 12 jam beliau mengejutkan rakan-rakannya dengan mencabar Rudd yang sehingga kini disifatkan sebagai pemimpin paling popular dalam sejarah Australia moden.
Pengunduran Rudd yang terkenal kerana mampu bertutur dalam bahasa Mandarin dan membantu merangka perjanjian perubahan iklim di Copenhagen dilakukan kerana anggota-anggota Parti Buruh telah hilang kepercayaan kepadanya ekoran dasar-dasarnya.
Rudd hanya sempat mentadbir Australia kurang tiga tahun selepas kemenangan besar parti berkenaan pada pilihan raya 2007.
Beliau membuat kejutan pada pilihan raya itu kerana partinya menewaskan sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) dalam perang Iraq, John Howard.
"Saya meminta rakan-rakan seperjuangan melakukan pertukaran kepimpinan kerana saya percaya bahawa kerajaan yang baik telah hilang haluannya," kata Gillard pada satu sidang media.
Gillard yang dilahirkan di Barry, Wales pada 1961 merupakan anak kedua kepada sebuah keluarga yang berpindah ke Adelaide, Australia kerana mereka mahu tinggal di kawasan lebih panas selain masalah paru-paru yang dihidapinya. Ketika itu beliau baru berusia empat tahun.
Gillard yang merupakan bekas peguam kesatuan pekerja memberitahu media bahawa beliau memimpin Parti Buruh dengan penuh rendah hati, keazaman dan kesungguhan.
"Saya benar-benar komited untuk berkhidmat kepada negara. Saya akan memimpin sebuah kerajaan yang kuat dan yang bertanggungjawab bagi menentukan masa depan kita," kata Gillard.
Beliau yang memahami tidak dipilih secara terus oleh rakyat sebagai Perdana Menteri berjanji akan mengadakan pilihan raya dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Gillard, 48, merupakan antara wakil rakyat yang memiliki prestasi terbaik di Parlimen ekoran kebolehannya meyakinkan orang ramai mengenai dasar-dasar kerajaan selain kemampuannya mematahkan serangan politik pihak pembangkang.
Buat masa ini, beliau masih tidak berkahwin tetapi mempunyai seorang teman lelaki, Tim Mathieson. - Agensi

>>macam teringin nak lihat wanita perintah negara kita..tapi mungkin perlu tunggu buat masa yang sangat lama...kerana perdana menteri ini bukan jawatan main-main...jadi seorang wanita yang cukup berkaliber sangat-sangat diperlukan untuk menjadi perdana menteri wanita di malaysia.....

No comments:

Related Posts with Thumbnails