Qari Mesir, qariah Pakistan johan Tilawah al-Quran
KUALA LUMPUR: Qari dari Mesir, Hani Abdel Aziz Ahmed dan qariah dari Pakistan, Samia Khanan masing-masing muncul johan bahagian qari dan qariah majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-52, yang berakhir di sini malam ini.Hani memperoleh markah 91.46 peratus, manakala Samia mendapat 91.08 peratus.Mereka masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM32,5000 (AS$ 10,000), piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan, yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Tempat kedua bahagian qari dimenangi Wan Ainuddin Abdullah dari Malaysia yang mendapat 90.75 peratus markah dan ketiga, Abdul Wadoud K Esmail dari Filipina yang memperoleh 89.63 peratus markah.
Tempat kedua bahagian qariah pula dimenangi Dayang Nurfaezah Emran dari Brunei yang mengumpul 90.17 peratus markah, manakala tempat ketiga Monaifah A Bogabong Alawi dari Filipina yang memperoleh 88.75 markah.
Naib Johan menerima wang tunai berjumlah RM22,750 (AS$7,000), cenderamata dan sijil penyertaan, manakala pemenang tempat ketiga menerima wang tunai sebanyak RM13,000 (AS$4,000), cenderamata dan sijil penyertaan.
Bagi hadiah sagu hati pula peserta menerima RM4,875 (AS$1,500), cenderamata dan sijil penyertaan.
Seramai 72 peserta dari 45 negara mengambil bahagian dalam tilawah bertema 'Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah' yang berlangsung selama lapan hari sejak 27 Julai lalu.
Jumlah itu meningkat berbanding 66 peserta dari 43 negara tahun lalu. Empat negara yang pertama kali menghantar peserta tahun ini ialah Tazakhstan, Surinam, Zambia dan Djibouti.
No comments:
Post a Comment