Monday, August 9, 2010

pelakon Getting Together maut dari tingkat 12


KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang ditemui mati selepas dikatakan terjatuh dari tingkat 12 dalam kejadian di sebuah kondominium di Pantai Hill Park di sini kelmarin, adalah model dan pelakon yang pernah membintangi drama, beberapa tahun lalu.

Sehubungan itu, polis menahan seorang lelaki yang juga teman serumahnya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Julia Chuah Sheau Yen, 31, juga pernah berlakon sitkom bersiri tempatan, Getting Together yang disiarkan di TV3 bersama pelakon seperti Elaine Daily, Alvin Wong, Carina Choo, Ako Mustapha dan Douglas Lim pada 2001.

Mangsa yang baru pulang dari melanjutkan pengajian di England sebulan lalu, ditemui mati akibat parah di kepala selepas terjatuh dari rumahnya di tingkat 12 kondominium berkenaan, pada jam 5 petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata suspek yang juga seorang jurugambar sambilan direman enam hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan sekitar kawasan kondominium berkenaan, tidak lama selepas kejadian.

Ku berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan sempat berpaut pada piring Astro di tingkat 10 sebelum terjatuh ke di kawasan tempat letak kereta kondominium terbabit. 
“Mangsa meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan di kepala dan badan. Bagaimanapun, bedah siasatan menunjukkan mangsa tiada kesan pukul dan cakar selain jiran memberitahu tiada pertengkaran kedengaran di rumahnya, ” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas rumah mangsa mendapati tiada kesan pergelutan ditemui selain rumah itu juga dalam keadaan kemas dan mangsa dipercayai akan berpindah ke sebuah pangsapuri yang baru dibelinya.

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan yang dijalankan,” katanya. 

Mayat mangsa yang dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dekat sini, untuk bedah siasat sudah diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengebumian. 





No comments:

Related Posts with Thumbnails